Halaman

12 December 2013

SIDANG DUN: Projek pejabat baru MBKT diserah kepada kontraktor

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek membina bangunan baru Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhampiran pantai di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu yang meliputi keluasan 2.2 hektar sudah diserahkan kepada kontraktor terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pembinaan bangunan 30 tingkat membabitkan peruntukan RM141 juta itu di bawah seliaan  Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu sebagai Pegawai Penguasa (S0).

“Ia akan menjadi satu lagi mercu tanda baru bandar Kuala Terengganu dan kos pembinaan pejabat baru MBKT itu di bawah peruntukan kerajaan negeri.

“ Sementara bangunan pejabat MBKT yang sedia ada ini disewa dari Perbadanan Memajukan iktisad Negeri (PMINT) dan terpulang kepada PMINT untuk mencari penyewa lain atau menggunakan pejabat itu nanti untuk kegunaan mereka berikutan pertambahan kakitangan dan pembesaran ruang pejabat ,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang-Pas), di sidang DUN, (hari keempat), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau lagi, PMINT juga akan berpindah ke bangunan baru apabila siap menara berkembar milik perbadanan itu yang akan dibangunkan tidak jauh dari bangunan sedia ada, tidak lama lagi.

Katanya, bangunan baru PMINT nanti juga bakal disewa sebahagian besarnya oleh Jabatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Terengganu, sementara satu lagi menara akan dijadikan hotel.

“Pemaju hotel sudah bersetuju untuk menyewa bangunan itu untuk dibangunkan sebagai hotel,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan YB Dato’ Tengku Hassan berhubung status pembinaan menara PMINT.