Halaman

13 December 2013

SIDANG DUN: Mangsa banjir boleh rumah percuma bawah program PPRT

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah boleh membuat permohonan untuk memiliki rumah secara percuma di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM40,000.

 "Ini khusus untuk sesiapa yang rumah mereka dihanyutkan air, roboh sama sekali atau mengalami kerosakan yang terlalu besar hingga tidak boleh dibaiki.

"Pihak bertanggungjawab akan mengumpul data mereka yang terlibat sebelum perkara itu dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN, semalam.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan, YB Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) mencadangkan kerajaan negeri Terengganu mengecualikan bayaran bil utiliti dan sewaan bangunan kedai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada mana-mana penduduk yang terjejas teruk akibat banjir.

 "Perkara ini wajar dipandang serius kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung mangsa banjir. "Jika bil utiliti seperti bayaran kadar air, elektrik dan sewaan bangunan kedai dapat dikecualikan selama sebulan, sudah tentu mampu melegakan mereka," katanya.

YB Mohd Iskandar juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menangguhkan cadangan menaikkan kadar yuran taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sebanyak RM50 daripada jumlah asal.

Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri juga menekankan kepada praktikal sesuatu ilmu yang diajar tanpa terlalu bergantung kepada kefahaman teoritikal semata-mata, khususnya dalam mata pelajaran pendidikan Islam.