Halaman

12 December 2013

SIDANG DUN: LPT dijangka siap tahun depan

Oleh: Suriati Ali

Semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman, berkata sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap.

 "Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.

 "Pihak kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.

 Beliau berkata demikian dalam sesi pengulungan pada Sidang Dewan Undangan (DUN), hari ini.

YB Ir Rosli berkata, pakej melibatkan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini setelah JKR meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu dipercepatkan.

 “Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

 “Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

 “Projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran,” katanya