Halaman

11 December 2013

SIDANG DUN : Hanya dua daripada sembilan sekolah swasta berdaftar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan sekolah swasta mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan menyebabkan permohonan pusat pendidikan terbabit untuk berdaftar di bawah kementerian itu tidak dapat diluluskan sekali gus tidak layak memperolehi sebarang bantuan kerajaan negeri.

YB Ghazali Taib (Ajil-BN) berkata setiap sekolah swasta tertakluk di bawah Akta Pendidikan Negara yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan wujud keseragaman termasuk dalam sistem kokurikulumnya.

 “Sebelum satu-satu sekolah diluluskan pendaftarannya, perkara atau piawaian yang perlu ada sekolah itu mesti selamat maksudnya mendapat kelulusan pembinaan sekolah dan mempunyai ciri keselamatan bagi mengelak kemungkinan berlaku kebakaran dan sebagainya.

“Reka bentuk sekolah juga perlu diambilkira melibatkan infrastruktur dan kemudahan yang boleh beroperasi sebagai sekolah dan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Satiful Bahari Mamat (Paka-Pas), di Persidangan DUN (hari ketiga) di Wisma Darul Iman, hari ini.

YB Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri menjawab soalan YB Satiful mengenai bentuk bantuan dan sokongan diberikan kerajaan negeri terhadap sekolah swasta.

Katanya, sekiranya sekolah swasta berkenaan memenuhi semua piawaian berkenaan, maka tidak timbul isu birokrasi untuk memperolehi kelulusan pendaftaran yang akan melayakkan pusat pendidikan itu menikmati bantuan kerajaan.

Tambah beliau lagi, daripada sembilan sekolah swasta di seluruh Terengganu, hanya dua yang berdaftar dan menerima bantuan daripada kerajaan negeri , iaitu Pusat Pendidikan Yayasan Terengganu (YT)Kuala Berang dan Besut.

Menurutnya, tujuh lagi sekolah swasta yang tidak berdaftar ialah Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin, Kemaman; SRI Al-Amin, Dungun; Sekolah Menengah Agama (SMA) Kampung Laut, SMA Islam Al-Amin Kemaman dan SMA Islam Al-Amin, Dungun.

Katanya, semua sekolah berkenaan turut melaksanakan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM sebagaimana sekolah di bawah kementerian.

Dalam pada itu, YB Ghazali berkata, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi membekalkan alat pemadam api di semua sekolah seluruh negeri termasuk sekolah swasta sebagai langkah keselamatan.