Halaman

12 December 2013

SIDANG DUN: 23 kawasan industri dibangunkan di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu mempunyai 23 kawasan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta berat melibatkan keluasan 3,371.69 hektar yang dibangunkan di seluruh daerah.

Kawasan industri itu termasuk pembangunan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)," kata YB Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang- BN), ketika menjawab soalan lisan YB Azan Ismail (Bandar-PKR) di sidang DUN (hari keempat), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato' Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa perindustrian dan Perdagangan negeri, berkata antara kawasan perindustrian itu termasuk kawasan terawal yang dibangunkan di negeri ini, iaitu Gong Badak, Kuala Terengganu yang menjalankan industri elektronik, pengangkutan dan pemprosesan makanan.

“Di Chendering, Kuala Terengganu (elektronik, tekstil, pemprosesan makanan dan kraftangan) dan di  Pulau Serai, Dungun (IKS, pemprosesan makananan dan logistik).

“Kawasan utama, di Kertih yang melibatkan 790 hektar (petroleum, produk petrokimia, logistik, gas dan jentera berat); Bukit Kor, Marang (pembungkusan makanan, pemesinan, pusat bahan binaan dan latihan), sementara di Teluk Kalong yang juga kawasan perdana merangkumi 1,200 hektar menumpukan industri berat seperti petrokimia, fibrikasi peralatan, penyelenggaraan, logistik, gas dan petroleum,” katanya. 

Kawasan lain, di Gong Medang, Besut (perabot, perkayuan dan pembungkusan makanan); Jakar 1 , 2 dan 3, Kemaman (perkilangan mesin dan kelengkapan industri); Batu 7, Dungun (bahan pembinaan, pemesinan, kelengkapan pengangkutan produk besi dan aluminium); Ajil, Hulu Terengganu (perkayuan perabot, percetakan dan pemesinan); Bukit Labohan Kertih (komponen jentera berat dan logistik); Wakaf Tapai, Marang (perkayuan perabot dan pemesinan); Mak Lagam, Kemaman (pemesinan, besi dan aluminium) dan Bukit Besi, Dungun (perkayuan, perabot dan kilang IKS).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan mensasarkan akan berlaku peningkatan ketara dan wujud daya saing dalam sektor berkenaan apabila siapnya akses utama , Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II tidak lama lagi.

“Jika satu masa dahulu, Terengganu dilihat jauh oleh pemain industri, termasuk infra dan juga kemudahan lain, tetapi dengan pembinaan LPT Fasa II yang hampir siap, Terengganu tidak lagi ketinggalan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Azan mengenai strategi meningkatkan perolehan industri SME di negeri ini.

Tambah beliau, strategi Bajet 2014 juga meletakkan teras utamanya untuk mendayasaingkan keupayaan negeri dalam semua bidang termasuk perindustrian yang akan menjurus kepada pembangunan SME secara keseluruhannya.