Halaman

23 December 2013

RM61,000 ganjaran untuk atlet ke Sukan SEA Myanmar

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan paling besar saban tahun sebagai ganjaran kepada atlet kelahiran negeri yang berjaya dalam pelbagai acara sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terbaru, sebanyak RM61,000 diperuntukkan untuk insentif Skim Wakil Negara (Swara ) kepada 61 atlet negeri yang mewakili 16 acara di Sukan SEA Myanmar, pada 14 hingga 20 Disember lalu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin, berkata Terengganu selaku `kuasa baru sukan negara’ menghantar 61 atau 10.91 peratus atlet yang mewakili negara ke temasya itu.

“Pelbagai peruntukan dan ganjaran disediakan kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memahat nama Terengganu di peringkat Asia serta dunia, termasuk di Sukan SEA Myanmar yang baru berlalu.

“Swara antara insentif kerajaan bagi mengiktiraf pembabitan atlet ke pentas antarabangsa, selain pelbagai ganjaran lain yang setimpal dengan kejayaan yang dihasilkan anak Terengganu dalam lapangan sukan negara dan juga dunia,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Haji Zainal Abidin berkata, ganjaran itu mampu menjadi `wang saku’ dan penyuntik semangat supaya lebih gigih dan memberi tumpuan terhadap kejohanan yang bakal ditempuhi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berbangga dengan keprihatinan kerajaan negeri apabila memperuntukkan RM25.94 juta untuk pembangunan sukan di seluruh Terengganu pada tahun depan, dalam usaha mengekalkan penguasaan Terengganu sebagai kuasa sukan negara.

“Peruntukan besar Bajet 2014 terhadap bidang sukan itu jelas membuktikan hala tuju dan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan bagi memperkasa dan mencipta lebih banyak kemashyuran dalam pelbagai arena sukan.

 “Kita akan memastikan Terengganu akan terus mendahului negeri lain dan menjadi model terhadap pembangunan sukan yang terancang dan berkesan,” katanya.