Halaman

18 December 2013

PSKT sasar 20 Program Cakap-Cakap Sains tahun hadapan

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan 20 slot Program Cakap-Cakap Sains berjaya diadakan pada tahun hadapan.

Eksekutif (Program Penggalakan Sains Inovasi) PSKT, Mohd Hakimi Awang Su berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Program Cakap-Cakap Sains akan dijadikan aktiviti tahunan dan diselitkan dalam sebarang program yang dianjurkan PSKT.

“Ini kali pertama Program Cakap-Cakap Sains diadakan dan sekiranya mendapat maklum balas positif daripada para peserta, program ini akan diperbanyakkan lagi dan bukan setakat diadakan sempena Bulan Astronomi PSKT sahaja.

“Jika hari ini program ini diadakan sebagai pengisian penutup untuk Bulan Astronomi PSKT yang telah bermula September lepas, tetapi untuk tahun-tahun akan datang ia akan dijadikan acara tahunan bagi PSKT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Cakap-Cakap Sains: Ilmu Falak di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Mohd Hakimi berkata, pada program berkenaan seramai 150 peserta mengikuti forum berkaitan ilmu falak yang disampaikan Ahli Astronomi, Shahrin Ahmad yang berpengalaman 30 tahun dalam dunia Astronomi.

“Peserta terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Marin dan Persekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Ahli Kelab Astronomi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), imam dan bilal serta orang awam,” katanya.