Halaman

24 December 2013

Program Rioh Sekampung eratkan hubungan penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Ketiadaan tempat untuk mengadakan aktiviti riadah bukanlah menjadi penghalang kepada penduduk Kampung Alur Pisang,Kuala Besut, untuk berkumpul sambil beriadah bersama ahli keluarga.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Alur Pisang, tidak menjadikan ketiadaan tempat untuk mengadakan aktiviti berkenaan sebaliknya menggunakan kreativiti menganjurkan sukaneka untuk penduduk kampung terbabit.

Pengerusinya, Mohamed Sabri Mohamed berkata, program “Rioh Sekampung” yang dianjurkan oleh JKKK membuktikan penduduk boleh menjalankan apa sahaja aktiviti walaupun tiada padang dan tempat untuk mereka beriadah.

Katanya, dengan menggunakan sedikit ruang lapang di kawasan kebun kelapa JKKK terbabit mengadakan aktiviti untuk komuniti yang disesuaikan dengan keadaan setempat.

Menurutnya, program terbaru itu berjaya mengumpul kira-kira 200 penduduk menyertai pelbagai acara sukaneka yang dipertandingkan bagi menggalakkan penyertaan penduduk dalam aktiviti riadah dan social.

Mohamed berkata, dengan mengeluarkan sedikit peruntukan dari kewangan JKKK pihaknya menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peserta yang berjaya dalam pertandingan yang dianjurkan oleh organisasi itu.

Antara acara yang dipertandingkan termasuklah mengail dalam paya, perlumbaan kereta sorong, tarik tali, dam dan aji dan pelbagai pertandingan acara sukan tradisional lain.

“Program tahunan ini sudah masuk tahun kelima berjaya dianjurkan oleh JKKK kampung ini,” katanya. Katanya, program itu bertujuan merapatkan hubungan mesra antara penduduk selain beriadah pada hujung minggu.