Halaman

19 December 2013

Pendapatan isi rumah di Terengganu meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Purata pendapatan bulanan isi rumah di Terengganu pada tahun ini RM4,205, meningkat 5.66 peratus berbanding 2012, hasil strategi dan program yang dilaksanakan kerajaan menerusi penjanaan perbelanjaan dan sumber yang ada dalam negeri bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Dato Wan Mohd Albakri Wan Md Noor, berkata purata pendapatan isi rumah berkenaan menjadi indikator yang menunjukkan kekayaan dan juga kesenangan penduduk di setiap kawasan mahu pun negeri.

 “Jika pada tahun 2003-2004 Terengganu negeri kedua miskin dengan pendapatan isi rumah ketika itu kurang dari RM2,000, pendapatan bulanan isi rumah yang direkodkan Jabatan Statistik pada 2012 meningkat dengan baik, iaitu RM 3,967.

 “Peningkatan itu turut melonjak kedudukan Terengganu dari tangga ke-13 naik ke tangga sembilan, maka jelas di sini  Terengganu antara negeri yang mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik menerusi indikator purata pendapatan isi rumah, bagi tempoh kurang 10 tahun,” katanya ketika mengupas Bajet 2014, sempena Program Diskusi Bajet 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau menjadi panel bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Che Abdullah di program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom).

Turut hadir, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong; Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman.

Dalam pada itu, Dato Wan Mohd Albakri berkata, peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM3,967 pada 2012 kepada RM4,205 tahun ini, masih jauh ketinggalan berbanding purata pendapatan isi rumah nasional yang berjumlah RM5,000 pada masa kini.

 “Malah purata pendapatan isi rumah negeri itu jauh terkebelakang berbanding pendapatan isi rumah di China yang merekodkan RM6,000, iaitu hampir separuh ketinggalan. Ia satu cabaran kerajaan negeri bersama semua badan dan agensi bagi bersama-sama meningkatkan kenaikan pendapatan isi rumah ini ke tahap yang lebih membanggakan berbanding negeri lain  yang jauh lebih baik seperti Wilayah Persekutuan( RM 8,586), Selangor (RM7,023), Pulau Pinang (RM5,035), Johor (RM4,658), Sarawak (RM4,293) dan Sabah (RM4,013),” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan sentiasa komited dalam menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang kompetitif di rantau ini, bersandarkan kepada kemasukan 66 projek pelaburan bernilai 2,84 bilion pada tahun lalu.

Tambah beliau lagi, daripada jumlah itu, sebanyak RM2,2 bilion merupakan pelaburan asing yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada 4,318 orang meliabtkan projek pembinaan kilang fabrikasi, loji pengeluaran gas, kilang IKS dan sebagainya.

 “Saya yakin pendapatan isi rumah akan meningkat lagi pada tahun ini bersandarkan kepada pelbagai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing menerusi pelbagai projek mega yang akan tumbuh dan sedang dirancang di seluruh Terengganu.

“Apabila pelaburan semakin rancak, peluang perniagaan dan pekerjaan yang semakin meningkat mampu dipenuhi oleh para siswazah setaraf dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Kadar pengangguran dapat dikurangkan, sekali gus meningkat pendapatan isi rumah dan menterjemahkan sumbangan kita untuk mewujudkan negara berpendapatan tinggi satu masa nanti,” katanya.