Halaman

05 December 2013

Sedia pelan alternatif untuk komunikasi di kawasan terjejas

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan pihak berwajib menyediakan pelan alternatif di kawasan yang mengalami gangguan utiliti utama khususnya elektrik dan telefon supaya tetap boleh berhubung antara satu sama lain ketika berdepan kecemasan.

Timbalan Menterinya, Dato’ Jailani Johari berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik di beberapa pencawang yang ditenggelami air khususnya di Kuantan dan kawasan lain yang terjejas teruk akibat ditenggelami air bagi mengelak insiden lebih buruk.

“Saya difahamkan di beberapa kawasan terbabit bekalan elektrik ditutup kerana tidak mahu berlaku masalah. Kita telah maklumkan kepada pihak yang memberi perkhidmatan itu supaya ada pelan alternatif lain.

 “Kita tidak mahu dalam situasi begini kita tidak dapat menghubungi antara satu sama lain. Malah, saya percaya arahan telah dikeluarkan dan pihak berwajib serta yang berkaitan sudah berusaha sebaik mungkin supaya tidak timbul sebarang kesulitan terutama untuk berhubung antara satu sama lain,” katanya ketika meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di sekitar Hulu Terengganu, hari ini.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu melawat dua pusat pemindahan di Dewan Sivik Batu 24, Kampung Tok Bat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nibong.

Seramai 167 mangsa dari 52 keluarga berada di Dewan Sivik , manakala 58 mangsa dari 28 keluarga di SK Kampung Nibong.

Sehingga pagi ini, seramai 1,758 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan di seluruh Hulu Terengganu. Bagaimanapun, semua mangsa di pusat pemindahan Menerong dan Peladang sudah pulang ke kediaman masing-masing selepas air mulai surut dan kawasan kediaman mereka selamat untuk didiami.