Halaman

08 December 2013

Nasib mangsa banjir terus mendapat perhatian

Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin bersama anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin dan anggota PDRM sebelum bergerak ke Kemaman untuk bantuan mangsa banjir.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Penderitaan mangsa banjir di seluruh Terengganu terus mendapat perhatian pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam apabila tampil menyumbang barangan keperluan harian dan makanan.

Anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin mengangkat barangan keperluan  ke dalam lori.
Usaha itu diharap meringankan beban dan penderitaan mangsa banjir yang kini mencapai 23,102 orang membabitkan 5,672 keluarga dan di tempatkan di 67 pusat permindahan banjir.

 Terbaru, inisiatif yang sama turut diambil Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin, Kuala Terengganu apabila menyumbang pelbagai jenis makanan seperti beras, biskut, minyak masak, susu tepung, susu pekat, milo, air minuman dan makanan ringan.


Komender Rejimen, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin,  berkata sumbangan berupa barangan makanan, terlebih dahulu akan diagihkan ke pusat pemindahan yang dikenalpasti mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi .

“Langkah ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan jika sumbangan masih diperlukan, kami akan usahakan perkara sama dengan mengagihkan bantuan ke Dungun dan Hulu Terengganu.

 “Kami berbangga kerana kerjasama pelbagai pihak bukan sahaja NGO dan syarikat swasta, malah orang awam yang tampil membantu membolehkan kita mengumpul sumbangan kira-kira RM13,000,”katanya.

Tengku Baharuddin berkata, sumbangan kali ini lebih mengutamakan makanan dan minuman berdasarkan keperluan mangsa di pusat pemindahan hasil lawatan beliau sebelum itu. Beliau turut berharap mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir redha dengan ujian, selain mengharapkan sumbangan itu mampu mengubat kesedihan mereka.

Pengerusi Persatuan Wanita Melayu Muda Terengganu, Puan Nordiana Shafie, berkata dia bangga kerana pelbagai NGO, syarikat swasta, orang awam bersama-sama kerajaan membantu mangsa banjir.

Katanya, pihaknya terpanggil melaksanakan kerja amal itu kerana dapat menyelami isi hati mangsa banjir yang memerlukan sokongan dan mahukan barangan keperluan harian.

 “Selain makanan, barangan keperluan lain seperti berus gigi, ubat gigi, sabun, selimut, tuala mandi dan sebagainya turut diagihkan, hasil sumbangan ahli dan orang ramai.

 “Jika diperlukan, bantuan seumpama ini akan diteruskan, termasuk mengagihkan kasut, beg dan pakaian sekolah pada minggu akhir cuti persekolahan ,” katanya.