Halaman

25 December 2013

Lantik badan induk pulih Lembah Limau Madu Durian Mentangau

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melantik satu badan induk dan jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan serta teknikal bagi memulih dan membangunkan semula Lembah Limau Madu di Durian Mentangau, Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, YB Haji Nawi Mohamad berkata perancangan itu memerlukan persetujuan semua pelabur yang terlibat dengan projek penanaman berkenaan.

“Projek tanaman limau madu fasa 1, Durian Mentangau juga boleh diteruskan dengan mengambilkira segala cadangan dan rumusan dalam laporan Jawatankuasa Khas Projek Limau Madu.

“Segala permasalahan yang dihadapi sebelum ini hendaklah ditangani supaya kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi,” katanya sebagai menjawab soalan bertulis YB Haji Satiful Bahari Mamat (Paka-Pas), di Sidang DUN, baru-baru ini.

Dalam pada itu, YB Haji Nawi berkata, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kos pelaburan dan hanya menyediakan tanah secara pajakan kepada pihak pelabur yang terlibat.

Katanya, khidmat nasihat teknikal kepada pelabur pula dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan tanaman itu.

Tambah beliau lagi, faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan projek limau madu berkenaan adalah masalah serangan penyakit “citrus greening” disebabkan oleh sebahagian anak benih yang ditanam tidak bebas penyakit berkenaan sekali gus mengakibatkan penyakit cepat merebak.

“Masalah kegagalan itu juga berpunca dari pengurusan dan kawalaan penyakit, tiada koordinasi dan persefahaman di dalam pengawalan jangkitan serangga vektor penyakit dan kebanyakan pengusaha pula tidak mengendalikan pengurusan pengawalan serangan vektor menyebabkan penyakit merebak dengan cepat.

“Infrastruktur seperti jalan ladang dan teres yang tidak mencukupi dan sempurna turut menyebabkan pengurusan tanaman di ladang tidak dapat dijalankan mengikut jadual. Malah, ia juga disebabkan tidak ada sistem pengairan menyebabkan pokok tidak dapat bekalan air secukupnya terutama di musim kemarau,” katanya.