Halaman

16 December 2013

Jawatankuasa Masjid perlu ketepikan fahaman politik kepartian


Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh turut menerima sijil perlantikan sebagai Pengerusi  masjid Nasiruddin Shah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Masjid negeri ini perlu mengenepikan fahaman politik kepartian sebaliknya mengimarahkan tempat ibadah berkenaan sebagai pusat aktiviti agama setempat.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu,Dato’ Rozali Salleh berkata, semua masjid negeri ini dilarang keras mengadakan program berasaskan kepartian kerana ia akan menggangu urusan pentadbiran masjid

Katanya, semua pihak juga hendaklah mematuhi arahan bagi mempastikan masjid bebas daripada kegiatan berunsur politik selain mengelak daripada memecahbelahkan masyarakat Islam.

Menurutnya, jawatankuasa masjid berperanan untuk mengurus tadbir hal pentadbiran supaya berjalan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak.

“Perbincangan berkaitan politik biarlah dilakukan di luar kerana ia akan diselesaikan oleh pemimpin politik sendiri,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan sijil kepada ahli jawatankuasa masjid daerah Besut semalam.

Pada majlis itu seramai 1,200 ahli jawatankuasa baru mewakili 81 masjid seluruh daerah Besut menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, dekat Jertih.












Rozali berkata, jawatankuasa juga perlu mengadakan mesyuarat pengurusan bulanan bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh imam dan bilal serta meningkatkan program untuk kariah setempat.