Halaman

04 December 2013

Ibu tunggal, JKKK Kubang Parit gotong-royong memasak asyura

Datuk Mohd Sabri Alwi meletakkan
bubur asyura ke dalam bekas sebelum
diagihkan kepada penduduk.
Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kubang Parit menganjurkan Majlis Gotong-Royong Memasak Asyura, di perkarangan Balai Raya Kubang Parit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 40 ibu tunggal dari DUN itu dengan dibantu 100 penduduk kampung berkerjasama memasak enam kawah bubur asyura bermula jam 8 pagi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi yang turut menyertai beberapa penduduk kampung menyiapkan masakan itu, sebelum diagihkan kepada lebih 500 penduduk sekitar.

Hadir sama, Pengerusi JKKK, Encik Ruslee Bidi dan pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Terengganu, Puan Saidah Salleh.

Datuk Mohd Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada dua pelajar cemerlang dari kampung berkenaan yang memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang lalu.

Menurut Encik Ruslee berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang sentiasa memberi sokongan dalam setiap program kemasyarakatan yang dilaksanakan di kampung itu walaupun mempunyai jadual aktiviti yang padat.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Malah kita jug amat berterima kasih dengan kesudian Persatuan Ibu Tunggal DUN sebagai penaja utama majlis berkenaan yang memilih kampung kami sebagai lokasi majlis.

“Program memasak asyura yang menelan belanja RM2,500 ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan, malah juga memberi peluang kepada semua untuk saling berkongsi kenikmatan bulan Muharam yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan kebaikan kepada umat Islam,” katanya.