Halaman

19 December 2013

Anggota PGK dan isteri ziarah pusara Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat.


Rombongan anggota PGK ziarah pusara ASP Zulkifli Mamat di Kampung Gong Bayor, Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kehilangan Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat, yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Mac lalu masih segar dalam ingatan rakyat negara ini kerana ia satu perjuangan murni untuk mempertahankan negara.

Pelbagai cara dilakukan oleh pihak tertentu untuk memperingati perjuangan Allahyarham sepanjang tempoh kematian beliau yang terkorban pada 1 Mac ketika bertempur dengan pencoroboh asing di Sabah.

Terbaru, Pasukan Gerak Khas (PGK) yang berpengkalan di Hulu Kinta, Perak, mengadakan majlis tahlil dan membaca surah yassin yang diadakan di Masjid Kampung Gong Bayor, dekat Jertih semalam.

Kira-kira 200 anggota polis, ahli Perkep, pegawai kanan polis serta penduduk kampung menyertai majlis tahlil berkenaan sempena sambutan ke 44 penubuhan PGK.

Majlis itu turut dihadiri Komandan 69 Komando PKK, Dato' Azizan Andul Aziz, Timbalan Ketua Polis Terengganu,Dato' Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Selesai majlis tahlil Azizah mengetuai rombongan menziarah pusara Allahyarham Zulkifli yang terletak kira-kira dua kilometer dari masjid kampung terbabit.

Balu Allahyarham, Nor Aziah Noor, 28, bersama tiga anak lelaki termasuk yang baru lahir dua bulan lalu serta ibu mertuanya, Khadijah Ismail,64, turut menziarah pusara arwah Pahlawan Negara berkenaan.

Azizan ketika ditemui berkata, pasukan berkenaan kehilangan seorang pegawai yang dedikasi dalam menjalankan tugas dan beliau amat disegani oleh rakan dan pegawai lain.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan aktiviti bagi memperingati Allayharham dengan mengadakan pelbagai program sebagai usaha mengenang jasa dan khidmat beliau terhadap pasukan dan negara.


“Kehadiran kami di kampung arwah turut disertai 100 anggota dan isteri masing-masing dari kem Hulu Kinta,Perak yang ingin menziarah pusara Allahyarham,” katanya.