Halaman

04 December 2013

7,500 pengguna Satu mengalami gangguan bekalan Air

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 7,500 pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu), di beberapa daerah negeri ini, mula mengalami gangguan bekalan air, mulai awal pagi tadi, disebabkan rumah pam di kawasan yang dilanda banjir tidak mampu beroperasi.

Kawasan Cheneh, Ceruk, Felda Neram, Kampung (Kg) Air Putih, Kg Bandi Kemaman dilaporkan paling ramai terlibat iaitu 5,100 pengguna. Gangguan itu berpunca rumah pam di Loji Rawatan Air Cerul, Kemaman di tenggelami air dan bekalan elektrik terpaksa di potong.

Manakala Kg Tapu dan Kg Pantai Ali, Hulu Terengganu pula mencatat bilangan 1,400 pengguna. Bekalan air terputus berikutan paip retikulasi rosak teruk akibat berlakunya kejadian tanah runtuh di Kg Kuala Kejil di daerah sama

 Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata pihaknya turut dimaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong elektrik di kawasan Sungai Pinang, Setiu.


 “Langkah itu terpaksa dilakukan kerana `sub station’ TNB kini di tenggelami air. Oleh itu, pihak kami terpaksa memberhentikan operasi `intake’ air sungai buat sementara waktu.

 “Rumah pam air mentah di Loji Rawatan Air Jerangau turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan kerja-kerja pembaikian sedang dijalankan oleh pihak berkaitan.

“Paras air Sungai Tepus, Bukit Besi, Dungun juga sudah melebihi paras berjaga-jaga dan didapati sudah memasuki kawasan loji rawatan di kawasan itu, operasi loji ini terpaksa diberhentikan jika paras air terus naik,” katanya.

Menurutnya, Satu juga sedang memantau paras air di semua loji rawatan air, rumah pam dan semua pepasangan paip Satu .

 “Kita akan menghantar bekalan air tangki bagi kawasan-kawasan yang mengalamai gangguan bekalan air terutama di pusat-pusat permindahan banjir.

“Dalam situasi seperti ini, pihak Satu berharap pengguna dapat bersabar dan kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi meminima dan mengatasi masalah gangguan bekalan air.

“Pengguna juga dinasihatkan memnggunakan air secara berhemah. Jika masalah ini berterusan boleh menghubungi Pusat Aduan Satu di talian 1300 882 111,” katanya.