Halaman

10 December 2013

3 malam tidur dalam bot kecil.

Oleh: Aminudin Ismail. 

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas, Ismail Osman, 75, dari Kampung Batu Tiga Chukai, Kemaman sanggup tidur di dalam bot fiber kecil selama tiga malam kerana bimbangkan mesin jahit di dalam rumahnya ditenggelami air dalam kejadian banjir besar yang melanda kemaman, baru-baru ini.

Beliau yang bersyukur kerana mesin jahitnya itu selamat kerana tidak terkena air, terpaksa mengangkat mesin jahitnya beberapa kali di tempat lebih tinggi ketika air meningkat mendadak dalam kejadian banjir yang menengelamkan hampir separuh dalam rumahnya itu.

Ismail bersama botnya.
“Bukan Pak Cik tidak mahu tinggal di pusat pemindahan tetapi memandangkan air sentiasa naik Pak Cik bimbang barang dalam rumah Pak Cik termasuklah mesin jahit kerana motornya akan rosak apabila terkena air.

“Lagipun isteri Pak Cik sudahpun berpindah. Walaupun tidur dalam perahu ini tidak lena mana tetapi Pak Cik dapat menjaga barang-barang Pak Cik itu,” katanya yang tinggal berdua bersama isterinya, Jarah Abdullah, 65, di rumah itu kerana anak-anaknya semua sudah bekerja.

Dalam pada itu, Ismail berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu penduduk di kampungnya terutamanya yang tinggal di pusat perpindahan ketika banjir baru-baru ini.

“Isteri dan beberapa saudara mara Pak Cik ada tinggal di pusat pemindahan. Mereka semua berpuashati dengan makan dan minum yang disediakan. Terima kasih juga kepada semua yang menghulurkan bantuan makanan ke rumah Pak Cik ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada hari ke lima banjir di Chukai, baru-baru ini.