Halaman

07 November 2013

Waris pelumba basikal terima sumbangan RM20,000

Oleh: Aida Abd Rahman

Tragedi malang yang menimpa dua atlet muda lumba basikal Terengganu yang maut dalam nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini, terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila memperuntukkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga mangsa, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sumbangan bernilai RM10,000 setiap keluarga Muhammad Syafiq Imran Syahril dan Mohd Asmui Ali sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada dua atlet yang memberi sumbangan kepada sukan lumba basikal di negeri ini.

Selain sumbangan itu, keluarga kedua-dua allahyarham bakal menerima insurans berjumlah RM15,000 setiap seorang.

“Saya harap selepas ini atlet-atlet lumba basikal kita dapat mengikuti arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh pihak persatuan seterusnya lebih berhati-hati ketika menjalani sesi latihan.

“Pada masa yang sama, untuk tindakan awal kita juga akan menambah bilangan kenderaan pengiring termasuk van dan motosikal dalam usaha memastikan keselamatan pelumba-pelumba kita terjamin ketika menjalani sesi latihan,” katanya. Selepas Penyerahan Cek Sumbangan kepada kedua-dua keluarga mangsa di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail. Dalam pada itu,

Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta pihak persatuan dapat mengkaji dan memperkemaskan lagi prosedur operasi standard dalam sesi latihan supaya perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang. 

Katanya, beliau tidak mahu Terengganu terus kehilangan bakat-bakat muda yang mampu menjadi pelapis skuad lumba basikal negeri dan kebangsaan akibat jalan raya  terutama ketika menjalani latihan.