Halaman

17 November 2013

TIIAF medan martabat kembali tulisan jawi sebagai kesenian Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) menjadi medium yang mampu memartabat dan memperkasakan kembali tulisan jawi sebagai satu kesenian Islam itu sendiri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Menerusi TIIAF kegemilangan tulisan khat cuba dimasyhurkan semula di mana penulisannya tidak hanya pada kertas, malah pelbagai medium lain turut diolah dan digunapakai seperti kanvas, kayu, serta logam.

“Pengamal seni warisan Islam merupakan golongan yang amat tinggi kefahaman nilai seni, selain kehalusan dan dapat menzahirkan kefahaman menerusi kaligrafi yang sangat indah,” katanya ketika berucap di majlis Penutup TIIAF 2013, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, hasil kerja tangan mereka ini amat unik dan tidak mudah diciplak kerana merupakan satu `signature’ yang hanya dimiliki oleh pengamal kaligrafi itu.

Selain itu, meneroka potensi perkembangan fesyen terkini menerusi ciptaan batikhat iaitu, corak batik yang bermotifkan khat merupakan satu inovasi dalam rekaan corak batik.

 “Batikhat boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana kerana batik sangat sinonim dengan negeri Terengganu serta pemakaian batik sudah diterima di peringkat dunia.

Dato' Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan seni khat berkenaan.



Seramai 502 peserta tempatan dan juga antarabangsa menyertai pertandingan itu yang terbahagi kepada beberapa ketgori termasuk karya siap (kebangsaan), karya siap (antarabangsa) dan pertandingan spontan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM100,000.