Halaman

15 November 2013

TDM sasar pulangan 20 peratus setahun sektor perkhidmatan kesihatan

Oleh: Aida Abd Rahman

TDM Berhad menyasarkan pulangan 20 peratus setahun daripada bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan menerusi empat hospital milik syarikat itu yang beroperasi di empat negeri.

Hospital berkenaan ialah Kuantan Medical Centre (KMC), Kuantan; Kuala Terengganu Specialist (KTS), Kuala Terengganu; Kelana Jaya Medical Center (KJMC), Selangor dan Taman Desa Medical Centre Sdn Bhd (TDMC), Kuala Lumpur.

Pengurus Kumplan Pemasaran Sumber Manusia dan Penjagaan Kesihatan, Encik Abdul Khalif Mohamad Salleh, berkata empat hospital itu menyediakan semua jenis perkhidmatan perubatan utama seperti bidang ortopedik, pembedahan plastik, pediatrik, radiologi dan perbidanan.

“Kita tidak menetapkan dalam bentuk angka perolehan, tetapi setiap tahun peningkatan dianggarkan sekitar 20 peratus berdasarkan permintaan terhadap penjagaan kesihatan di kesemua hospital kita,” katanya, baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya juga mensasarkan peningkatan pendapatan melebihi 20 peratus apabila dua hospital iaitu KTS Batu Buruk dan Pusat Perubatan Kuantan (KMC) di Indera Mahkota, Pahang siap kelak.

TDM memperuntukkan pelaburan RM280 juta bagi membangunkan dua hospital berkenaan. KMC Indera Mahkota dibina pada 2011 dan dijangka siap pada suku tahun pertama tahun depan, manakala KTS akan siap pada 2016.

Kedua-dua hospital itu direka serta dibina mengikut akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) iaitu yang menetapkan standard pembinaan hospital di Amerika Utara dan Eropah.