Halaman

18 November 2013

Sultan Mizan mahu Terengganu jadi destinasi pelancongan alam semula jadi terkenal dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya Terengganu yang terkenal dengan destinasi pulau, laut dan pantai yang menarik serta hutan hujan tertua di dunia bakal menjadi destinasi pelancongan alam semulajadi yang terkenal di dunia.

“Pihak penggiat industri pelancongan hendaklah kreatif dan inovatif dalam menyediakan pakej pelancongan di negeri ini selaras dengan keunikan dan kepelbagaian `bio’ yang terserlah tadi.

“Beta juga ini menyarankan supaya kerajaan negeri dapat merancang pembangunan kawasan ekopelancongan dengan terancang serta secara menyeluruh seperti kemudahan infrastruktur dan lain-lain. Manakala pihak swasta dipohon turut serta membangunkan kawasan ekopelancongan dengan menyediakan kemudahan hotel dan chalet,”titah baginda sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Baginda bertitah, dengan pembangunan yang bersepadu itu akan meningkatkan lagi industri eko pelancongan dan pelancongan marin di Terengganu.

“Beta juga mencadangkan supaya kerajaan negeri mengkaji cadangan menjadikan Setiu Wetlands sebagai kawasan Wetlands Negeri atau dunia yang sesuai untuk pelancongan yang berasaskan komuniti di mana pelancong boleh menyusuri sungai, melawat sangkar ikan dan ternakan tiram serta menanm pokok bakau.

“Begitu juga dengan aktiviti memerhati burung yang berpotensi untuk dibangunkan. Lebih daripada 230 spesies burung berjya direkodkan di Kenyir yang mana sembilan spesies daripadanya adalah burung enggang,” titah baginda.

Sultan Mizan juga mahu melihat industri menyelam merupakan insdutri pelancongan marin yang bergantung kepada pulau dan juga alam semula jadi.

Sehubungan itu, baginda menyeru supaya konsep `carrying capacity’ dan kajian alam sekitar perlu ada dalam perancangan pembangunan di pulau-pulau bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi serta kehidupan dasar laut.



Sebelum itu, baginda bertitah bahawa ekopelancongan mula diperkenalkan di Malaysia pada 1996 dalam Pelan Ekopelancongan Kebangsaan.

Pelan itu mencadangkan `Pembangunan Pelancongan Lestari di 48 kawasan di Terengganu antaranya daerah Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands yang dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin.