Halaman

25 November 2013

Puteri relevan, bantu perkasa parti : Ketua Puteri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan ini sebagai satu amanah yang cukup besar dari pucuk pimpinan parti kepada manusia kerdil seperti saya untuk mengepalai pergerakan sayap bongsu Umno ini supaya dilihat lebih relevan bagi membantu memperkasakan parti di peringkat akar umbi , kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu, Puan Rozita Ismail, 34.

Beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu (2013-2016) menerima pelantikan itu selepas dihubungi Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Puan Mas Ermieyati Samsudin, Rabu lalu mengganggap kepercayaan pucuk pimpinan negeri dan juga Puteri Malaysia kepada beliau itu amat tinggi dan mencabar.

Puan Rozita yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Hulu Terengganu akan berusaha menggalas jawatan utama berkenaan sebaik mungkin dengan bantuan semua Ketua Puteri dan jawatankuasa Puteri bahagian serta ahli Puteri seluruh Terengganu.

“Apa yang utama, memandangkan semua Ketua Puteri Umno bahagian di kalangan muka baharu, maka saya bertanggungjawab untuk mewujudkan penyatuan dan keserasian di kalangan mereka dan semua jawatankuasa bagi memudahkan Puteri melaksanakan gerak kerja dan merealisasikan hala tuju kita.

“Fokus puteri adalah memperkemaskini keahlian khususnya di seluruh cawangan supaya dapat menzahirkan hasrat kepimpinan Puteri Umno Malaysia yang mahu menarik lebih ramai bilangan ahli di seluruh negeri bagi memperkukuh sayap Puteri sendiri,”katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, usaha menambah ahli penting bagi memastikan pergerakan tersebut mempunyai pelapis muda untuk memperkuat sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, masalah keahlian di peringkat negeri itu perlu diselesaikan berikutan ada di kalangan ahli Puteri dan cawangan yang pernah ditubuhkan tidak layak bermesyuarat kerana kekurangan ahli.

"Kita berharap permasalahan ini dapat diselesaikan dengan menambah lebih ramai ahli dalam kalangan belia wanita yang menjadi antara fokus utama kita bagi penggal ini.

"Selain itu, kita akan meneruskan agenda pendidikan dan juga modal insan untuk terus memartabatkan anak bangsa pada masa hadapan. Pada masa yang sama, kita juga amat berperanan dalam melancarkan gerak kerja dan pemantau dalam semua pilihan raya serta meneruskan ketuanan Melayu di negara kita," katanya.

Puan Rozita berkata, mesyuarat pergerakan Puteri yang pertama dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat ini bakal memperincikan pelbagai aspek termasuk hala tuju dan strategi pergerakan sayap Umno itu untuk memenangi hati dan menarik orang muda di seluruh Terengganu agar menyertai Umno.

Pada masa yang sama, Puteri negeri juga akan memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama yang difokuskan Puteri Malaysia di mesyuarat pertama exco Puteri itu, iaitu memperbanyakkan keahlian dalam sayap, menambah daftar pemilih dan menjadi agen dalam Umno bahagian bagi mencari pemilih baru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke- 14.

Puan Rozita, 34, mula menceburi politik sejak 2000 sebagai ahli biasa sebelum dilantik sebagai Pengerusi Tetap Puteri bahagian bermula 2004 dan menyandang jawatan Naib Ketua Puteri bahagian pada 2008.