Halaman

20 November 2013

PTNT kenal pasti peninju Sukma tahun depan

Persatuan Tinju Negeri Terengganu (PTNT) mengenal pasti enam peninju untuk mewakili Terengganu di Sukma Perlis tahun depan.

Setiausaha PTNT, Encik Rosli Zakaria berkata tiga daripada peninju itu pernah mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 manakala tiga lagi adalah muka baharu.

"Kami masih dalam proses mencari dua lagi peninju untuk melengkapkan pasukan tinju Terengganu ke sukan dwitahunan itu," katanya.

Beliau berkata tiga peninju yang mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 ialah Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari yang merupakan pemenang pingat emas kategori 52kg; Nik Mohd Akhbar Nik Safii (kategori 64kg); dan Mohd Sufian Abdullah (69kg).

Muka baharu yang disenaraikan ialah Mohd Isamuddin Afif Mat Zaid (kategori 49kg); Wan Zulrusydi Wan Saiful Zamri (56kg); dan Mohd Azreen Yakub (60kg).

Encik Rosdi berkata dua lagi peninju bagi kategori 71kg dan 80kg mungkin dicari di kalangan peninju-peninju muay thai di daerah Besut.

Beliau berkata PTNT akan menempatkan peninju-peninju itu di kompleks sukan negara Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk latihan bersama peninju-peninju negara mulai 22 Nov hingga 31 April 2014.