Halaman

22 November 2013

Masjid Kampung Bangol ceria dan indah.

Masjid Kampung Banggol, Setiu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

PEMBINAAN masjid baru Kampung Banggol, Setiu oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2006 dan siap pada 2008, banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya kerana selain memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat ianya juga padat dengan aktiviti keagamaan.

Masjid yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta itu boleh memuatkan kira-kira seramai 1500 jemaah bagi menampung jumlah jemaah solat jumaat dan solat dua hari raya yang semakin meningkat pada masa depan.

Ustaz Mohd Suhaimi.
Setiausahanya, Ustaz Mohd Suhaimi Endut, berkata pelbagai aktiviti keagamaan diadakan sepanjang minggu di masjid itu, selain pelbagai program lain termasuklah Forum Islam yang diadakan setiap tahun dengan kerjasama Terengganu FM.

"Sejak dibuka pada 2008 lalu, masjid ini meneruskan kesinambungan masjid lama selain beberapa aktiviti dan program baru yang dilaksanakan.

"Antara program baru ialah penubuhan Skuad Cakna Masjid Kampung Banggol pada 2011 yang dilancarkan oleh Adun Permasuri, Dato' Mohd Jidin Shafee.

"Selain itu aktiviti harian yang lain ialah pada malam Ahad diadakan Program Pengajian Al Quran oleh Ustaz Endut Abdul Rahman, malam Isnin Pengajian Tajwid juga daripada Ustaz Endut. Manakala malam Selasa pula Pengajian Fekah oleh Imam Yusof Husin.

"Malam Rabu Pengajian Hadis oleh seorang penceramah jemputan, malam Khamis, Al Quran oleh Imam masjid, Amran Derahat, malam Jumaat kita mengadakan bacaan yasin dan tahlil serta solat hajat manakala malam Sabtu pula juga Pengajian Al Quran oleh Imam masjid, Amran Derahat. 

"Sambutan penduduk terhadap pengajian ini amat mengalakan iaitu sekitar 60 orang jemaah hadir termasuklah golongan muda sekitar 30 peratus," katanya.

Hias..hadapan masjid dihiasi pokok bunga.
Suhaimi berkata, Masjid yang dibina di atas tanah seluas kira-kira dua ekar itu juga mempunyai lanskap yang menarik dan pernah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Kecerian dan Kebersihan Masjid Daerah Setiu 2013.

"Kita juga menjadi wakil daerah untuk pertandingan itu pada peringkat negeri pada tahun ini. Masjid ini sentiasa dikawal selia dengan baik oleh jawatankuasa masjid pada setiap minggu dan penduduk kampung pula mengadakan gotong royong setiap sebulan sekali," katanya.

Menurut Suhaimi, Skuad Cakna Masjid memainkan banyak peranan dalam membantu penduduk menguruskan pelbagai perkara mengenai keagamaan, antaranya ialah memberi khidmat mengali kubur, pengurusan jenazah sehinggalah kepada majlis tahlil dan bacaan yasin.

"Kita juga memenuhi permintaan dari kampung-kampung lain yang mahukan khidmat itu terutamanya untuk sembahyang jenazah dan bacaan tahlil dengan menghantar 10 hingga 20 wakil mengikut permintaan," katanya.

Indah..pemandangan belakang masjid.
Selain itu, katanya, Masjid Kampung Banggol juga adalah antara dua buah masjid yang mengunakan khutbah Jumaat multimedia di Setiu bermula sejak 2009 lagi.

Katanya, masjid itu juga menjadi pilihan golongan muda sekitar Kampung Banggol dan kampung-kampung berhampiran untuk menjalankan majlis akad nikah.

"Saya mengharapkan masjid ini akan terus ceria dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kehadiran penduduk untuk menunaikan solat berjemaah selain bersama-sama menjaga rapi kawasan sekitarnya supaya sentiasa kelihatan bersih dan indah," katanya.

Imam Masjid Banggol ialah Imam I, Ustaz Endut Abdul Rahman, Imam II,Yusof Husin dan Imam III, Amran Derahat manakala bilal pula ialah Abdul Ghani Hassan, Che Ismail Mohamed dan Yasin Che Awang. Pengerusi masjid ialah Mat Saufi Deraman.
Hijau..pelbagai pokok di tanam di bahagian depan masjid.
Kemas..tempat letak kenderaan juga indah.
Luas..kawasan parkir yang luas.
Cantik...pemandangan dalam masjid.
Damai..kawasan lapang yang mendamaikan.