Halaman

28 November 2013

KPM mahu konsep Ulul Albab diperluas

Oleh: Suriati Ali

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri melaksanakan kurikulum Ulul Albab, mulai tahun depan.

 Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris bin Jusoh, berkata pihaknya mencadangkan agar kurikulum yang telah dilaksanakan di lima Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu itu turut diguna pakai di sekolah terpilih luar dari negeri itu.

 “Buat permulaan, tiga negeri iaitu Kedah, Selangor dan Pahang telah menyatakan persetujuan dan ia disenarai pendek KPM untuk melaksanakannya, bermula tahun depan.

“Disebabkan apa yang ingin dilakasanakan ini memerlukan perancangan rapi, termasuk perlu mengkaji berkaitan kemampuan penerimaan pelajar, infrastruktur dan kekangan masa, ia akan dilaksana secara berperingkat-peringkat.

 “Jika semuanya berjalan lancar, kokurikulum itu akan diperluaskan, sehingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah dan Pelancaran Program Transformasi Daerah Peringkat Kebangsaan di Hotel Permai,Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Dato’ Seri Idris turut memberitahu, 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.

“KPM serius ingin melaksanakan kokurikulum itu kerana mampu membantu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap pembelajaran agama Islam, menghafaz, memahami al-Quran, hadith dan mengamalkan cara Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara,” katanya,” katanya.