Halaman

04 November 2013

Kerajaan Terengganu biaya pesakit jantung di Sungai Limau

Penderitaan pesakit jantung cilik, Adik Nur Aini Aqila Haron Nizar, 3, dari Kampung Bukit Choras, Sungai Limau, mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu yang memutuskan untuk membiayai rawatannya di i-Heal Medical Center, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang melawat kampung berkenaan kelmarin mengumumkan pesakit berkenaan akan dihantar ke pusat rawatan milik kerajaan negeri itu, secepat mungkin.

Beliau berkata, kos rawatan perubatan dan pembedahan kanak-kanak malang itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan keluarga pesakit.

Mangsa yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia setahun setengah akan menjalami rawatan awal dalam tempoh terdekat dan menjalani pembedahan jantung di pusat berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri mengambil kesempatan melawat mangsa ketika menghadiri kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Choras.

Kira-kira 300 orang penduduk sekitar Bukit Choras yang merupakan kawasan ‘anak angkat’ Umno Terengganu turut hadir bagi memeriahkan majlis itu yang bertujuan mengeratkan tali silaturahim antara penduduk tempatan.

Menteri Besar serta rombongan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu turut mengadakan lawatan rumah ke rumah di kawasan tersebut bagi bertanyakan khabar penduduk.

Sempena lawatan Jalinan Kasih Silaturahim itu, Menteri Besar turut membawa pasukan perubatan dari Terengganu bagi memberi rawatan awal kepada pesakit yang dilawati rombongan beliau.