Halaman

23 November 2013

Kerajaan negeri tambah peruntukan kepada RM18.9 urus 65 Taska Permata

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menambah peruntukan kepada RM18.9 juta untuk mengurus 65 Taska Permata Keluarga (TPK) di seluruh Terengganu pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sebanyak RM16.6 juta yang melibatkan kos pengurusan dan perlaksanaan program bagi seluruh TPK di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dibelanjakan pada tahun ini.

“Sejumlah kos yang agak besar dibelanjakan kerajaan negeri pada setiap tahun demi memastikan akan-anak Terengganu mendapat pendidikan terbaik seawal usia mereka.



“Malah, pertambahan peruntukan ini menunjukkan kerajaan negeri begitu prihatin terhadap pendidikan anak-anak dari peringkat awal lagi dan pertambahan peruntukan ini bakal memberi manfaat kepada hampir 4000 kanak-kanak TPK,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Hafaz Muqadam kanak-Kanak Taska Permata keluarga, Yayasan Pembangunan Keluarga, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.



Dalam majlis itu, seramai 1,168 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz muqaddam (23 surah lazim).