Halaman

09 November 2013

Ismail, Pengerusi JKKK berjiwa rakyat.

Oleh: Aminudin Ismail.

Ismail..suka membantu.
SIKAPNYA yang gemar bergaul rapat dengan penduduk kampung menjadikan Ismail Omar, 56 mudah untuk menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tasik Nibong, Dun Jabi yang disandangnya sejak lebih tiga penggal lalu.

Lebih memudahkan lagi kerjanya ialah apabila hampir keseluruhan penduduk kampung adalah daripada penyokong Barisan Nasional malah segelintir dari penyokong parti pembangkang turut bekerjasama dengannya apabila mengadakan sesuatu majlis.

“Saya memang rapat dengan semua penduduk malah boleh dikatakan kesemua penduduk saya kenal kerana jumlah penduduk di cawangan saya ini tidak ramai iaitu sekitar 200 orang. Saya mudah mengendalikan sesuatu perkara terutamanya dalam menyalurkan bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Ismail berkata, sepanjang tugasnya sebagai wakil kepada wakil rakyat di kampungnya, dia sudah berjaya mambantu mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk penduduk dan membaikpulih rumah yang uzur.

“Setakat ini saya berjaya membantu kira-kira 10 penduduk kampung untuk mendapatkan rumah PPRT dan lebih 20 buah rumah sudah dibaikpulih.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah orang kampung , saya akan pastikan mereka yang layak akan berjaya mendapat apa yang dipohonnya,” katanya.

Bincang..sedang berbincang sesuatu dengan rakannya.
Menurutnya, beliau juga akan mempastikan penduduk berjaya menerima pelbagai bantuan lain seperti bantuan bulanan dari JKM dan bantuan wang ehsan serta beberapa bantuan lain daripada kerajaan negeri dan pusat.

“Saya akan membantu penduduk yang benar-benar layak untuk memohon bantuan ini dan akan sentiasa berusaha supaya permohonan itu akan diluluskan dan Alhamdulillah kebanyakan yang layak berjaya dalam permohonan mereka itu,” katanya.

Ismail berkata, antara usahanya yang paling mengembirakanya ialah apabila sebuah Madrasah Kelas Al-Quran berjaya dibuka di kampungnya bagi membolehkan penduduk di kampung itu mendalami ilmu Al Quran.

Dalam pada itu, Ismail mengharapakan penduduk di kampungnya akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya beliau dapat terus menabur khidmat untuk kemajuan kampungnya sekiranya beliau masih diberi kepercayaan oleh Wakil Rakyat dan penduduk pada penggal akan datang.