Halaman

18 November 2013

Hari Tongkat Putih beri kesedaran berdepan golongan cacat penglihatan di jalan raya

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai berdepan orang cacat penglihatan di jalan raya, Pertubuhan Orang-orang Buta Malaysia (SBM) menganjurkan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa 2013 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini.

Program di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu berlangsung meriah dengan pengagihan cendera hati kepada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Pengerusi SBM Terengganu, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata kempen ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada pengguna jalan raya untuk berdepan dengan golongan kurang bernasib baik seperti mereka ketika di jalan raya.

“Masih ramai pengguna yang tidak mengambil cakna kepada golongan yang kurang upaya seperti kami terutamanya di jalan raya.

“Kempen ini diadakan supaya masyarakat membuka mata dan memberi ruang agar lebih memberi keutamaan kepada kami terutamanya di kawasan terbuka seperti di jalan raya,” katanya. Selain itu, katanya statistik terkini orang cacat penglihatan di negeri ini melebihi 3,000 orang dengan bilangan ahli seramai 300 orang yang berdaftar dengan SBM.

Sehubungan itu, pada Disember ini, SBM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) akan mengadakan program Jejak Orang Buta bagi mengenalpasti dan menjejaki golongan kurang upaya ini di setiap daerah untuk didaftarkan dalam pertubuhan itu.