Halaman

24 November 2013

Dato' Jailani janji bawa transformasi kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Perhubungan Umno Terengganu menerima timbalan pengerusi baharu, Dato’ Jailani Johari apabila pelantikannya diumum oleh Presiden parti Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara, Khamis lalu.

Dato’ Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berterima kasih kepada semua pihak khususnya pucuk pimpinan parti yang memilih beliau untuk menggalas jawatan baharu itu.

“Terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Umno atas kepercayaan yang diberikan. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang terus menyokong dan sentiasa mendoakan kesihatan saya.

 “Insya-Allah saya akan laksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dalam membawa transformasi yang dihasratkan oleh kerajaan demi perjuangan parti dan kesejahteraan bangsa, agama dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasmi beliau, Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Umno Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri untuk memantapkan lagi Umno Terengganu.

Sebelum ini jawatan itu disandang oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Kedua.