Halaman

01 November 2013

65 kakitangan JKR naik pangkat tahun ini

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin, Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih) 

Seramai 65 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu menerima kenaikan pangkat sepanjang tahun ini.

Yang Di Pertua Kesatuan Pekerja-pekerja JKR Negeri Terengganu, Salleh Samat berkata, sebilangan besar kakitangan jabatan itu yang mengambil peperiksaan dalaman lulus dan berjaya dinaikkan pangkat.

“Pekerja yang berjaya lulus dalam ujian kenaikan pangkat nyata gembira apabila keputusannya dikeluarkan dalam peperiksaan yang dijalankan pada tahun lepas.

“Walaupun diberi kenaikan pangkat, mereka tidak akan dipindahkan ke cawangan lain dan akan terus kekal di tempat mereka bekerja sekarang”, katanya ketika ditemui semasa Mesyuarat Agung Kali Ke-40 Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya Terengganu di PusatDagangan terengganu (TTC) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar serta Pengarah JKR Terengganu, Dato’ Ir Shafii Mohamad.

Salleh berkata, kebanyakan yang terlibat dalam kenaikan pangkat terdiri daripada tukang k2 dan k3.

Tambahnya lagi, jabatan juga turut memberi bantuan kepada ahli-ahli yang berdaftar dengan pihak kesatuan seperti bantuan kesihatan dan pendidikan kepada anak-anak ahli yang menyambung pelajaran.

“Lebih RM10, 000 setahun dibelanjakan untuk bantuan kesihatan dan RM15,000 pula dikeluarkan bagi bantuan pendidikan”, ujarnya.