Halaman

25 November 2013

1168 berjaya hafaz muqaddam

Oleh: Noraini Jusoh



Seramai 1168 anak-anak Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafaz muqaddam (23 surah lazim) dan dianugerahkan sijil pada Majlis Hafaz Muqaddam Kanak-Kanak Taska Permata Keluarga yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, seramai 302 orang atau 36 peratus terdiri daripada kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan 866 atau 77 peratus berusia empat tahun.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat hebat dan memang berpotensi jika dididik dengan betul seawal usia mereka.

“Berkonsepkan sistem bermain sambil belajar, sistem pendidikan kanak-kanak TPK bukan bermatlamat mendewasakan kanak-kanak tetapi untuk memastikan mereka membesar mengikut perkembangan usia dan dapat menikmati alam kanak-kanak sepenuhnya,” ujarnya.



Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.



Mohd Shafaruddin berkata, bagi penambahbaikan program untuk tahun depan, YPKT akan mendedahkan pengunaan Bahasa Inggeris di semua TPK.

“Kanak-kanak di TPK juga akan diajar menghafaz 16 siri doa harian dan diberi pendedahan awal berkaitan asas solat,” jelasnya.

Tambah beliau, rakyat negeri ini amat bertuah kerana Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang kerajaannya menyediakan Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak.

“Sehingga kini terdapat 65 buah TPK diseluruh negeri ini hasil daripada kebijaksanaan Menteri Besar yang berpandangan jauh dan sanggup melabur besar dalam bidang pendidikan demi kecemerlangan anak-anak Terengganu,'' ujarnya.