Halaman

06 October 2013

Usah rosakkan meter parkir - Exco

OLEH : CHE KU ZAINAL BIN CHE KU MUDA 


 Penduduk tempatan diingatkan supaya tidak mengamalkan vandalism ke atas Sistem Meter Pakir Berbayar yang dipasang di sekitar bandar negeri ini kerana ia merupakan usaha murni Kerajaan Tempatan bagi memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing dengan lebih sistematik dan teratur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri, YB Roslee Daud berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dengan tidak mengkhianati sebarang usaha kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat kerana ia dilakukan bagi tujuan memudahkan orang ramai.

Beliau berkata, meskipun meter pakir tersebut berbayar namun ia tidak membebankan dan boleh memudahkan orang ramai dan rakyat negeri ini bagi meletakkan kenderaan dengan tersusun serta bergilir-gilir.

“Kita tahu sistem pakir bermeter dikenakan bayaran tetapi ia adalah usaha murni Kerajaan Tempatan dalam usaha supaya orang ramai meletakkan kenderaan mereka secara tersusun, teratur dan sistematik.

 “Oleh yang demikian, janganlah lakukan vandalism ke atas meter tersebut dengan meletakkan benda-benda yang boleh merosakkan meter berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Parking Bermeter oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di Perkarangan 7 Eleven di Pusat Perniagaan Sura Gate di sini semalam yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan.

Pada majlis tersebut beliau turut memberitahu bahawa MPD telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi memasang 457 meter pakir berbayar secara keseluruhannya di bandar Dungun dan dari jumlah itu sebanyak 278 meter dipasang khusus di Pusat Perniagaan Sura Gate sahaja.

YB Roslee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Besi berkata, dengan kadar 10 sen bagi 10 minit adalah berbaloi dan tidak membebankan orang ramai dan pengguna di samping boleh menghindarkan kesesakan.

Sementara itu, YDP MPD, Zulkifli Bakat berkata, orang ramai perlu meletakkan duit paling minima sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen untuk setiap minit berikutnya.

Beliau berkata, tarikh beroperasi ialah pada 1 Oktober ini bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada setiap hari kerja iaitu Sabtu sehingga Khamis manakala hari Jumaat dan kelepasan am dikecualikan.

 “Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan MPD iaitu dengan memasukkan duit sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen bagi setiap minit seterusnya bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun oleh Penguatkuasa MPD.

 “Jika mereka gagal mematuhi arahan ini dan didapati mereka tidak meletakkan duit maka mereka akan dikenakan tindakan saman atau kompaun dan sebarang kesulitan bolehlah menghubungi 09 8481931 atau 012 9652084 puan Zalehah Mohamad”, jelasnya.