Halaman

07 October 2013

Umno Terengganu tampil lapan calon rebut jawatan dalam Umno Pusat

Oleh; Esah Abdullah 

Umno Perhubungan Negeri Terengganu menampilkan lapan calon bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Malaysia dalam pemilihan parti itu pada November depan.

Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pengajian Tinggi dan Pelajaran 11, Dato’ Seri Idris Jusoh menawarkan diri untuk calon MKT.

Dato’ Seri Idris, Ahli Parlimen Besut merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Besut yang menang tidak bertanding dalam percalonan Umno bahagian itu baru-baru ini.

Manakala Dato’ Seri Ahmad Shabery, Ahli Parlimen Kemaman juga diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Dato’ Seri Idris dan Dato’ Ahmad Shabery merupakan penyandang MKT .

Manakala Bendahari Pergerakan Wanita Perhubungan Terengganu yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Marang (menang tidak bertanding) Senator To’ Puan Zaiton Mohd Amin merupakan calon tunggal dari negeri ini untuk merebut jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Tiga calon Pemuda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Setiu, YB Iskandar Jaafar; Encik Abdul Aziz Ismail dan Encik Mohd Husaimi Hussin turut menawarkan diri untuk jawatan Exco Pemuda Umno Malaysia.

Manakala dua calon Puteri bagi merebut jawatan Exco Pusat ialah Naib Ketua Pergerakan Puteri Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Puteri Bahagian Kemaman, Puan Asfalinda Anuar dan Exco Pergerakan Puteri Terengganu Puan Normadiana Kamaruddin.

Majlis pengenalan calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap Umno diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam. Lebih 2,000 calon seluruh negara hadir.