Halaman

22 October 2013

Terengganu sedia 437 pusat pemindahan, 118 pengkalan hadapan hadapi musim banjir

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) menyediakan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 63,172 mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Kuala Terengganu (47), Kemaman (57), Dungun (52), Besut (141), Hulu Terengganu (81), Marang (24) dan Setiu menyediakan 35 pusat pemindahan.

Menteri Besar disambut penduduk sebaik tiba di Kampung Banggol Pak Ali.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata JKM juga mengenalpasti 118 buah pengkalan hadapan di seluruh Terengganu bagi menempatkan bekalan di tempat strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan.

“Inisiatif itu juga supaya bekalan apa dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana yang memerlukan.

 “Selain itu, kita juga sentiasa bersiap-sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berisko berlaku bencana itu di seluruh Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kebersihan dan keindahan kampung peringkat negeri, di Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat, Marang, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong. Menteri Besar berkata, semua pihak dan agensi yang terlibat dengan persiapan berdepan musim banjir sudah bersiap sedia sepenuhnya meliputi bekalan makanan, logistik, kenderaan serta kekuatan anggota serta petugas di barisan hadapan dan sokongan.

 “Saya juga menggesa semua piak dala pengurussan bencana negeri Terengganu yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan sukarela , badan bukan kerajaan serta pemimpin dan komuniti setempat perlu memperkemaskan lagi jentera pengurusan bencana supaya lebih proaktif dan responsive pada setiap masa,”katanya.