Halaman

09 October 2013

Terengganu Incorprated agih dividen RM20.1 juta

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika majlis penyerahan dividen kepada agensi kerajaan melalui Terengganu Incorprated Sdn Bhd di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu Incorprated Sdn Bhd (TISB) mengagihkan RM20,178, 156.81 kepada pemegang sahamnya terdiri daripada agensi-agensi kerajaan negeri sebagai dividen keuntungan syarikat yang diperolehi bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Penerima dividen tertinggi ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjumlah RM11,745,911.52 diikuti Menteri Besar Diperbadankan Terengganu sebanyak RM4,570,586.19.

Penerima dividen lain terdiri daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebanyak RM1,585,971.04, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (RM1,248,696.16), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (RM1,022,729.84) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) (RM4,262.06).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, TISB telah mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM25.65 juta mengatasi keuntungan bersih selepas cukai tahun sebelumnya iaitu RM23.78 juta.

“Peningkatan sebanyak RM1.87 juta berbanding keuntungan yang diperolehi pada 2011 dan mencatat rekod di mana jumlah itu adalah yang tertinggi sejak penubuhan TISB pada 2006,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Dividen kepada Agensi Kerajaan di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, keuntungan terkumpul TISB adalah membanggakan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2011 iaitu RM25.65 juta kepada RM68.50 juta.

“Unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2013 pula dijangkakan sekitar RM41.14 juta,” katanya.

Menurutnya, sektor perladangan kelapa sawit merupakan penyumbang utama pendapatan keseluruhan syarikat, diikuti sektor minyak dan gas dan selebihnya adalah lain-lain sektor.

“Kejayaan yang diperolehi ini adalah hasil strategi portpolio pelaburan dan perbelanjaan berhemah serta usaha berterusan pasukan pengurusannya,” katanya.

Katanya, pembayaran dividen ini adalah berdasarkan daripada keuntungan bersih selepas cukai tahun lalu dan pengagihan dividen adalah mengikut bilangan unit saham biasa dan saham keutamaan boleh tebus bukan kumulatif yang dimiliki oleh agensi kerajaan terbabit.