Halaman

20 October 2013

Suatu kejayaan memerlukan pengorbanan besar

Oleh: Noraini Jusoh

“Seperti selalu orang cakap, suatu kejayaan memerlukan pengorbanan besar dan bagi saya, untuk berjaya memerlukan usaha yang lebih. Kalau orang lain usaha sepuluh kali ganda kita kena usaha lebih lagi,” kata penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen kali ke-11 Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raveca A/K Ridi, 24.

Pencapaian cemerlang gadis kelahiran Sarawak itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85 membolehkan beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah pada majlis konvokesyen sesi pertama berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, semalam.

Raveca berkata, kedua ibu bapa serta ahli keluarga banyak memberi dorongan sehingga beliau berjaya muncul sebagai pelajar terbaik.

"Perasaan saya sungguh gembira dan terharu dengan kejayaan ini. Segala usaha gigih saya berbaloi apabila menjadi salah seorang penerima anugerah pada hari yang amat bermakna ini.Terima kasih saya ucapkan khususnya kedua ibu bapa yang banyak memberi dorongan,” ujar graduan yang bergiat aktif dalam aktiviti kepimpinan dan persatuan di peringkat universiti mahupun negeri kelahirannya itu.

Menurut Reveca, beliau ingin menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum berhasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis konvokesyen yang turut menerima keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan pengurniaan dua anugerah istimewa iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Dr Mohd Yusof Md Noor.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 1962 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing, iaitu 15 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 114 penerima Ijazah Sarjana, 1727 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 106 penerima Diploma.

Sementara itu, Ng Bee Yin yang turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja mendedikasikan kejayaan yang dirangkul terhadap kedua ibu bapanya.

Anak kelahiran Perak yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 itu berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang sangat memahami minat beliau dan menyokong apa sahaja yang dilakukan.

"Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa kerana memberi sokongan terhadap apa yang saya buat. Bidang pemuliharaan yang saya pilih bukanlah bidang popular tetapi mereka tetap menyokong saya untuk menghabiskan pengajian kerana memahami minat saya terhadap bidang ini,” kata graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti yang aktif menyertai aktiviti debat ketika di universiti.

Bagi penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Nur Nadjla Ahmad Razei ,24, beliau melahirkan raya syukur dengan kejayaan yang dikecapinya.

Anak kelahiran Sri Serdang, Selangor yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 itu berkata, beliau tidak pernah terfikir akan dikurniakan anugerah berkenaan.

"Semasa pengajian, saya menyertai aktiviti yang saya suka dan alhamdulillah pihak universiti menghargai apa yang saya lakukan,” ujar graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) yang juga bekas penari kebudayaan UMT yang turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan ketika di universiti.

Nur Nadjla berkata, beliau tidak mempunyai rahsia kejayaan khusus tetapi memberi tumpuan sepenuhnya dan fokus terhadap apa yang diajar pensyarah ketika kuliah dan sewaktu membuat ulangkaji.

"Apabila tiba musim peperiksaan, saya akan betul-betul fokus terhadap apa yang diulangkaji. Saya seorang yang tidak boleh belajar lama dan disebabkan itu lebih suka belajar apabila tidak tertekan dan fokus terhadap apa yang dilakukan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir (kontrak) di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada majlis konvokesyen berkenaan, dua anugerah lain iaitu Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (Bidang Sains) turut dianugerahkan kepada graduan Doktor Falsafah (Penyelidikan) Sains Matematik, Dr. Mohd Rivaie Mohd Ali manakala Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (Bidang Sains Sosial) pula dianugerahkan kepada graduan Sarjana Sains Perakaunan (Penyelidikan), Jaya Kumar Shanmugam.