Halaman

06 October 2013

SOP untuk pelumba basikal negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengesyorkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelumba basikal negara selepas mendapat laporan penuh berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pelumba remaja Terengganu, Rabu lalu.

Menterinya, YB Khairy Jamaluddin berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak persatuan sama ada berlaku kecuaian atau sebaliknya dalam insiden yang meragut nyawa pelumba pelapis kebangsaan itu.

"Saya tidak mahu mendahului siasatan...biar kita tunggu hasil siasatan sebelum membuat apa-apa rumusan," katanya ketika menziarahi keluarga pelumba pelapis kebangsaan Mohd Asmu'i Ali @ Awang, 20, di rumah keluarga arwah, di Kampung Kuala Ibai, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengkaji kemalangan membabitkan atlet lumba basikal.

Katanya, jawatankuasa itu nanti akan dianggotai pihak dalam dan luar yang akan dikendalikan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Kerajaan negeri amat sedih dan terasa dengan kejadian itu apatah lagi ia berlaku dalam tempoh empat bulan selepas tragedi pertama.

“Kita sudah meningkatkan tahap keselamatan, tetapi kemalangan tetap juga berlaku,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, insiden itu dipercayai berlaku semasa mangsa mahu mengambil air daripada van pengiring sebelum gagal mengawal basikal dan terjatuh sebelum dilanggar oleh van yang sama, di KM71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.