Halaman

11 October 2013

RAKYAT HIDUP MEWAH DI BAWAH BN

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Rakyat di negara ini patut bersyukur kerana dapat hidup mewah berbanding negara-negara di Rantau Asia kerana kebijaksanaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara serta berjaya mengawal harga barangan daripada dimanipulasi mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek berkata, hasil tinjauan mendapati rata-rata rakyat hidup dengan aman serta mewah meskipun hanya ada beberapa peratus sahaja yang hidup di bawah paras kemiskinan.


Beliau berkata, bekalan barangan seperti gula, tepung gandum, susu, sayur-sayuran dan sebagainya amat mencukupi dan rakyat tidak perlu risau dengan kenaikkan harga barang kerana KPDNKK sentiasa memantau serta mengawal barangan terbabit

 “Kita tidak pernah dengar rakyat di negara kita tidak dapat makan kerana ketiadaan sumber barangan asasi seperti beras, gula, susu, sayur-sayuran dan sebagainya kerana pihak kerajaan sentiasa prihatin dan ia amat mencukupi dengan jumlah penduduk yang ada.

“Oleh itu, kita semua patut bersyukur kerana dapat hidup aman serta mewah tanpa sebarang gangguan meskipun ada beberapa kes-kes terpencil kerana mereka tidak mahu berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Mesra KPDNKK Bersama Masyarakat di Mayang Sari Resort di sini semalam.

Pada program tersebut, seramai kira-kira 100 orang yang terdiri daripada penggiat masyarakat bagi kawasan Parlimen Dungun termasuk Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Wira Rosli Mat Hassan turut hadir. Berhubung dengan kenaikkan harga barangan,

Hasan menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu risau dan jika mereka dapati ada barangan yang dinaikkan oleh peniaga mereka boleh membuat aduan terus kepada ke Pusat Aduan KPDNKK di seluruh negara.

Jelasnya, para pegawai KPDNKK sentiasa memberi kerjasama kepada para pengguna yang memerlukan bantuan termasuk membuat aduan mengenai kenaikan harga barang kawalan dengan sesuka hati oleh sama ada peniaga atau pembekal.

 “Pihak Kementerian juga mempunyai tugas yang berat dan terpaksa berhadapan dengan mereka yang tidak bertanggungjawab yang bertindak sebagai penyeludp bagi menyeludup barangan tertentu.

 “Bagaimanapun, KPDNKK ada Pusat Aduan dan orang ramai boleh membuat aduan terus pada bila-bila masa sahaja dan pihak kami amat berterima kasih di atas kerjasama yang ditunjukkan oleh para pengguna,” jelasnya.