Halaman

14 October 2013

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, beri manfaat kepada 300 pesakit kronik

Oleh: Suriati Ali 

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Seberang Takir, Kuala Terengganu kini menerima kira-kira 300 pesakit kronik terutama berkaitan saraf menerima rawatan pusat itu sejak beroperasi Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pusat itu cukup bermanfaat kepada masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah di mana setiap hari dianggarkan antara 12 hingga 15 orang menerima rawatan di situ.

Katanya, kebanyakan pesakit yang berkunjung ke pusat itu adalah penghidap angin ahmar, jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

“Pada masa ini pusat tersebut tidak hanya memberi rawatan percuma kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, malah turut dinikmati masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran.

 “Setiap pesakit perlu mendapatkan surat sokongan dan pengesahan doktor di klinik-klinik kerajaan terlebih dahulu sebelum menerima rawatan di pusat berkenaan,” katanya.

 Menurut beliau, antara peralatan baru yang akan diterima di pusat itu ialah khusus untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak pendidikan khas yang bernilai RM60,000 yang dijangka memulakan perkhidmatan pada awal November depan.

 "Selain itu pusat tersebut juga akan menempatkan seorang doktor pakar pelbagai penyakit secara bergilir-gilir pada setiap Sabtu untuk memberi rawatan dan khidmat kesihatan.

“Pada masa ini, antara aktiviti yang dijalankan di pusat berkenaan ialah penilaian dan rawatan kepada pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit mengenai penjagaan rutin harian di rumah, memberi pendidikan kepada penjaga serta memantau keberkesanan rawatan kepada pesakit,” katanya.

“Pusat tersebut juga menyediakan kemudahan pengangkutan secara percuma untuk menghantar dan mengambil pesakit dari rumah mereka ke pusat itu memandangkan ramai antara mereka yang tidak mempunyai kenderaan,” katanya.

Pusat Rehabilitasi bernilai RM1 juta itu merupakan yang pertama di negara ini dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lalu.