Halaman

24 October 2013

Program Hippoterapi dan perasmian RDA cawangan Terengganu pada 6 November

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Yayasan Kebajikan Perkasa Alam (YKPA) dengan kerjasama kerajaan negeri memperkenalkan program Hippoterapi atau terapi berkuda bagi membantu golongan kurang upaya dalam memulihkan kecacatan diri terutamanya kecatatan anggota.
Bertemakan ‘Kerana kamu Adalah Istimewa’, program Hippoterapi dan perasmian ‘Riding For Disable Association’ (RDA) cawangan Terengganu akan dilancarkan pada 6 November ini di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka akan meyempurnakan majlis perasmian pusat Hippoterapi itu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam, Dato’ Hamzah Muhammad berkata, sempena majlis pelancaran itu, pihaknya akan menjemput pelajar istimewa daripada jabatan pelajaran dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita sasarkan untuk menghimpun seramai 600 pelajar Orang kelainan Upaya (OKU) bagi diberi pendedahan tentang keberkesanan terapi berkuda.

“Walaupun program ini masih baru di Malaysia, tetapi telah banyak diperkenalkan terutamanya di pantai barat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Hippoterapi ‘Kerana Kamu Adalah Istimewa’ di Rumah Kelab, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.

Katanya, program Hippoterapi merupakan satu bentuk terapi yang menggunakan pergerakan haiwan khususnya kuda bagi menjalankan terapi pada kanak-kanak dan dewasa istimewa atau OKU yang mengalami masalah kecacatan diri.

“Kita melatih pelajar OKU menunggang kuda untuk memberi pendedahan dan peluang agar mereka dapat meningkatkan keyakinan diri sekali gus membantu memulihkan kecacatan anggota yang dialami,” ujarnya.