Halaman

25 October 2013

PRK DUN SUNGAI LIMAU: MB TERENGGANU LANCAR JENTERA PRK PETI UNDI GELAM TIGA KEDAH

Laporan Ruslan Abdul Rahman bersama jurufoto Haris dan jurukamera Raja Gadafi dari DUN Sg Limau. 

Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan Umno serta Barisan Nasional (BN) Kedah dan Terengganu mempunyai pengalaman politik yang hampir sama dalam menghadapi pembangkang, khususnya Pas.



‘Kita sama- sama faham bahawa Pas memperalatkan Islam dan hukum hakam untuk kepentingan parti politik mereka terutama dalam menghalal dan mengharamkan sesuatu perkara berkaitan agama mengikut selera dan kepentingan politik,” katanya sewaktu melancarkan jentera pilihan raya PDM Gelam 3, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Kedah.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hajah Suraya Yaacob mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir, penceramah Umno Malaysia Datuk Zainal Abidin Sakom, jentera dari Terengganu dan Kedah serta penduduk tempatan.

PDM Gelam Tiga adalah di bawah tugasan negeri Umno Terengganu bersama-sama dengan Umno Bahagian Jerai Kedah. Satu lagi di bawah tugasan Umno Terengganu ialah PDM Bukit Choras.

Misalnya dulu Pas pernah mengkafirkan Umno kerana berikat (bermuafakat) dengan MCA dan MIC, tetapi hari ini tanpa segan silu mereka bersengkongkol dengan DAP yang menentang Islam dan orang-orang Melayu, kata Dato’ Seri Ahmad.

Oleh itu katanya, kita tidak ada pilihan lain untuk masa depan dan kesejahteraan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini melainkan menyokong BN dan menolak Pas yang telah jauh tersasar dari landasan perjuangan asal.



Terdapat kira-kira 1 026 orang pengundi di PDM berkenaan yang merupakan suatu perkampungan yang dikelilingi sawah padi.  Dari jumlah itu terdapat kira-kira 75 orang pengundi Cina.

 Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi BN Terengganu sudah beberapa hari berkampung di DUN Sungai Limau bersama sama dengan Dato’ Mat Jidin Shafie (Ketua Umno Bahagian Setiu) yang ditugaskan sebagai ketua deligasi Teregganu dan Timbalan, Nawi Mohamad (Ketua Umno Bahagian Besut).

Menteri Besar Terengganu meminta jentera Umno Terengganu bersama-sama jentera tempatan menjalankan tugas yang sebaiknya bagi memastikan PDM di bawah jagaan mendapat kejayaan.