Halaman

04 October 2013

Peserta Walk4Malaysia ‘tawan’ Putrajaya

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Selepas 13 hari berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer tanpa menghiraukan hujan dan panas serta pelbagai cabaran lain, akhirnya peserta Program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang diketuai Mat Noor Mat, akhirnya berjaya ‘menawan’ Putrajaya, hari ini.



Ketibaan Mat Noor yang kini sudah melunaskan nazarnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil Kuala Besut (PRK) baru-baru ini, disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ M Saravanan di perkarangan pejabat Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, jam 11.35 pagi ini.



Hadir sama menyambut ketibaan peserta Walk4Malaysia ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Nawi Mohamad dan beberapa ketua jabatan serta pemimpin Umno.

Peserta Walk4Malaysia memulakan cabaran untuk berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut hingga ke Putrajaya pada 22 September lalu dan mereka singgah di lebih daripada 10 lokasi sebelum menamatkan perjalanan.



Mereka diberi sambutan meriah di setiap lokasi yang dirancang di negeri Terengganu bagi memberi peluang penduduk tempatan memberi sokongan kepada program berkenaan.

Mat Noor telah bernazar untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika BN menang PRK Kuala Besut dan kerajaan negeri membantu beliau merealisasikan nazar tersebut dengan cara mengadakan Program Walk4Malaysia.

Di sepanjang perjalanan ke Putrajaya beliau di beri sokongan moral apabila atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) turut berjalan kaki menemaninya sepanjang misi tersebut.

Program ini telah mendapat pujian Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak kerana ia melambangkan kegigihan dan semangat waja rakyat Malaysia.