Halaman

14 October 2013

Pemilihan Umno di empat Bahagian dijangka sengit


Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno 2013 bagi jawatankuasa Bahagian di Terengganu yang akan berlangsung Sabtu ini dijangka lebih sengit berbanding pemilihan tiga sayap parti, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Dato' Muda Mamat berkata pihaknya menjangka empat bahagian akan menghadapi persaingan sengit iaitu di Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

"Ini kerana pertandingan di keempat-empat bahagian itu agak 'panas' kerana calon yang bertanding semuanya mempunyai penyokong kuat masing-masing dan peluang mereka juga agak seimbang kerana keistimewaan tersendiri.

"Justeru, pihak pengurusan jawatankuasa pemilihan Umno negeri akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk memastikan kelancaran pemilihan jawatankuasa Umno Bahagian minggu depan," katanya, semalam.

Kuala Nerus dan Marang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, Dungun (tiga penjuru) manakala Hulu Terengganu pertandingan satu lawan satu antara Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dengan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Calon untuk Ketua Bahagian di Kuala Nerus pula ialah Ketua Bahagian itu Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan ditentang tiga lagi calon iaitu Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Dato' Ahmad Razif Abd Rahman; bekas exco negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said; dan Mohd Shapian Ali.

Dato' Muda berkata Marang juga dijangka sengit apabila Ketua Bahagian Dato' Yahya Khatib Mohamad bakal ditentang anak saudaranya sendiri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri YB A Latiff Awang; bekas exco Dato'  Dr Abdul Latiff Awang dan Encik Zainal Alang Abdul Rahman.

 "Proses mendaftar perwakilan dijangka bermula pukul 8.30 pagi dan pemilihan jawatankuasa dijangka bermula sekitar pukul 10.30 pagi manakala keputusan rasmi dijangka mula diumum pada sidang akhbar pukul 11 malam," katanya.