Halaman

27 October 2013

MAIDAM buka empat lagi kelas SPAIT mulai Januari 2014

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan membuka empat lagi kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di seluruh negeri ini bermula Januari 2014.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Omar Pilus berkata, kelas SPAIT yang bermula sejak tahun 2011, merupakan satu daripada inisiatif MAIDAM dalam mendekatkan masyarakat dengan ilmu agama secara formal dan berstruktur.

"Kelas SPAIT ini ditawarkan untuk golongan masyarakat yang berusia 25 tahun ke atas dan diadakan dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

"Kurikulum pengajian adalah berasaskan tiga subjek utama iaitu Tauhid, Feqah dan Tasawuf, yang akan diajar mengikut tahap kelas pengajian," katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran kelas SPAIT Tahap Mutawwassit di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang baru-baru ini.

Menurutnya, kelas ini menawarkan tiga tahap persijilan iaitu persijilan ibtida''i iaitu peringkat permulaan, diikuti persijilan Mutawassit (pertengahan) dan persijilan Mutaqaddim (lanjutan).

Tempoh pembelajaran persijilan ibtida''i adalah selama 17 bulan, Mutawassit 22 bulan dan persijilan Mutaqaddim, 28 bulan.

Katanya, sehingga kini, pengajian agama tahap Ibtida''i telah dilaksanakan di tiga masjid iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu; Masjid Hadhari, Jertih Besut dan Masjid Geliga, Chukai, Kemaman.

Omar berkata MAIDAM turut memperuntukkan kira-kira RM700 juta setahun untuk program ini dan berharap ia dapat melahirkan individu muslim yang berilmu untuk generasi akan datang.