Halaman

21 October 2013

Lebih RM10 juta dibelanjakan kerajaan negeri untuk calon STPM

oleh: Noraini Jusoh, Mohd Hafizuddin Mat Tahar, Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan lebih RM10 juta untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tempoh enam tahun.



Bermula tahun 2008 hingga tahun 2012, seramai 10,663 orang mendapat manfaat melalui penyampaian bantuan pendidikan YT kepada pelajar STPM melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10,663,000.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemberian insentif berkenaan sudah menjadi tradisi kerajaan negeri sebagai galakan dan sokongan kepada anak-anak Terengganu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Semua pelajar Tingkatan Enam (Atas) yang tidak menerima apa-apa biasiswa atau bantuan daripada pihak lain layak menerima sumbangan ini.

“Bantuan sebanyak RM1000 seorang diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor sosial ekonomi keluarga masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu Kepada Pelajar STPM Tahun 2013 Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.



Turut hadir,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Tuan Haji Ngah Bidin.

Seramai 1623 pelajar Tingkatan Enam (Atas) daripada 43 sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan berjumlah RM1,623,000 yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebelum ini, bantuan yang sama bagi tahun 2013 telah disempurnakan di Parlimen Besut pada 16 Julai lalu dengan jumlah penerima seramai 305 pelajar dengan nilaian RM305,000 menjadikan nilai keseluruhan bagi tahun ini RM1,928,000.



Katanya, selain sebagai pembakar semangat kepada calon-calon STPM, bantuan berkenaan juga diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pencapaian pelajar STPM di negeri ini sejak lima tahun yang lalu amat memberangsangkan.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang memberikan bantuan seumpama ini, justerus selagi Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu, pemberian bantuan pendidikan YT akan diteruskan demi memacu kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam bidang pendidikan,” ujarnya.