Halaman

03 October 2013

Kursus komputer percuma di 47 Bescomm

Kerajaan negeri menyediakan kursus komputer secara percuma di 47 Pusat Komuniti Bestari (Bescomm) di seluruh Terengganu.

Pegawai Teknologi Maklumat, Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Encik Zulkifli Abdul Kadir berkata, peserta kursus juga akan diberikan sijil yang diiktiraf oleh kerajaan negeri.

“Pusat (Bescomm) ini terbuka kepada semua peringkat usia dan begitu juga kepada peserta kursus asalkan minimum untuk tiga orang satu kumpulan.

“Sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari kursus asas komputer, mereka boleh menghubungi Bescomm berhampiran dan haruslah mencari rakan tidak kurang daripada tiga orang,” katanya kepada pemberita ketika mengendalikan Kursus Celik Teknologi Maklumat (IT), Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Terengganu Siri I/2013, baru-baru ini.

Encik Zulkifli berkata, tenaga pengajar ialah pegawai terlatih yang arif berhubung komputer dan mereka berada di situ (Bescomm) sepanjang masa.

 “Bescomm dibuka pada hari dan waktu bekerja kecuali Jumaat dan Sabtu sahaja. Setiap pusat Bescomm menyediakan 13 buah komputer dan orang ramai dapat menggunakannya bagi tujuan kebaikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan percuma itu sejak 2003, namun mungkin ada sesetengah pihak masih tidak mengetahui secara langsung peranan Bescomm yang dikendalikan kerajaan khusus kepada rakyat.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan yang ada kerana ia percuma selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama mendalami bidang IT,” katanya.