Halaman

27 October 2013

Kolej Universiti Bestari ke arah universiti wakaf pertama

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Kolej Universiti Bestari (UCB) bakal menjadi universiti wakaf pertama di negara ini apabila sumber kewangannya dikutip daripada sumber wakaf bukan sahaja dalam negara, malah melibatkan umat Islam seluruh dunia.

Menurut Pengurusi Lembaga Pengelola UCB, Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansur, langkah pertama telah dimulakan dengan derma wakaf tanah di kampus tetap UCB seluas 320 ekar pada Disember 2010.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UCB Kali Pertama yang berlangsung di TH Hotel, semalam.

Turut hadir Canselor UCB, Tan Sri Samsudin Osman, Pro-Canselor UCB, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom dan Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh serta Naib Canselor UCB, Prof. Dr. Mustapha Ismail.

Seramai 580 graduan UCB telah menerima sijil dan diploma mereka pada majlis konvokosyen yang berlangsung meriah.

“Umat Islam boleh membeli satu lot tanah dengan harga RM30 satu kaki persegi di kaunter Pos Malaysia dan cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Malaysia.

“Hasil daripada pembelian ini akan diwakafkan kepada UCB dan diharapkan dapat membantu golongan miskin dan anak yatim yang tidak berpeluang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi”, katanya.

UCB yang terletak di Putera Jaya, Bandar Permaisuri sebelum ini dikenali sebagi Kolej Teknologi Bestari (KTB).