Halaman

02 October 2013

Kecurian kabel di tahap membimbangkan

Oleh; Esah Abdullah 

Telekom Malaysia (TM) merayu orang ramai dan penduduk setempat membantu pihaknya membasmi gejala kecurian kabel demi kepentingan bersama.

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail berkata, masalah kecurian kabel milik TM di negeri ini di tahap membimbangkan sehingga syarikat terpaksa menanggung kerugian besar.

“Antara kawasan dikenal pasti kerap berlaku kecurian adalah daerah Dungun dan Besut terutama di kawasan pendalaman,” katanya.

Katanya, kegiatan ini turut memberi kesan kepada pengguna yang terputus perkhidmatan telekomunikasi.

Menurutnya, usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi menangani rungutan di dua kawasan terbabit namun perkara yang sama berulang selepas kerja baik pulih dilakukan.

“Antaranya termasuklah menawarkan hadiah sebagai penghargaan kepada pihak yang berjaya menahan atau menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel ini, namun kejadian berulang selepas TM mengantikan kabel baru,” katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini memberi kesan kepada TM kerana terpaksa menanggung kos yang agak mahal dan kecurian ini kerap berlaku di kawasan pedalaman yang jauh daripada pandangan orang ramai.