Halaman

01 October 2013

Jawatankuasa Perwakilan Penduduk akan diwujudkan tahun depan

Oleh; Esah Abdulalh

Sebuah oganisasi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) akan diwujudkan dalam kawasan bandar di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT), Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan organisasi ini merupakan satu anjakan baru di bawah kementeriannya khusus untuk masyarakat yang tinggal di bandar.

“JPP akan berfungsi serupa dengan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya di majlis perjumpaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Ketua Setiausaha KKBPKT, Dato’ Noriah Hashim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, kebelakangan ini penduduk di kawasan bandar dilihat tidak mempunyai hubungan emosi dengan kerajaan serta agak sukar bagi kerajaan untuk menyelami hati dan naluri mereka yang akhirnya telah menterjemahkan hubungan dalam bentuk undi menentang kerajaan.

“Sebab itu kita lihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kebanyakan undi masyarakat di bandar tidak memihak kepada Barisan Nasional dan di sinilah kita perlu lakukan sesuatu agar hubungan emosi antara kerajaan dengan masyarakat dapat diwujudkan,” katanya.

Katanya, tujuan kerajaan adalah setiap inci bandar akan diwakili seorang JPP dan akan bekerjasama dengan PBT serta menjalin hubungan rapat dengan kerajaan pusat.

“Perlantikan mereka akan dibuat melalui Kerajaan Pusat di mana bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha akan diberi elaun bulanan manakala jawatankuasa turut menerima elaun kehadiran mesyuarat,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, apa yang dilaksanakan nanti selaras dengan objektif di bawah kementeriannya untuk mensejahterakan bandar yang selama ini hanya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tugasnya tidak begitu khusus seperti fungsi JPP yang akan ditubuh nanti.

“Kita harap adanya jawatankuasa itu, masyarakat dikawasan bandar dapat menyalurkan segala pemasalahan yang timbul terus kepada wakil JPP untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.